Wednesday, August 24, 2005

Realiti tentang profesion perguruan masa kini

Hmm, saat terbaca artikel ini, aku berfikir sejenak... betapa tugas seorang pendidik semakin mencabar & mendebarkan. Jadi bagi rakan-rakan yang turut membaca artikel ini.. renung-renungkanlah.
----------------------------------------------------------------------------------------
NUTP terima banyak aduan pendidik hadapi tekanan

Oleh Norzilawati Abd Halim

Kajian babitkan 1,500 guru sebagai responden dilaksana secepat mungkin

KAJIAN mengenai masalah stres dan bebanan kerja di kalangan guru termasuk punca gejala berkenaan berlaku adalah antara isu hangat yang dibincangkan perwakilan pada Persidangan Tritahunan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) ke-17 di Genting Highlands, yang berakhir semalam.

Presidennya, Ismail Nihat, berkata perwakilan melihat isu berkenaan penting dan bersetuju supaya kajian mengenainya dijalankan segera.“NUTP berpendapat kajian ini perlu dijalankan kerana kami menerima aduan mengenai bebanan kerja dan stres guru. Namun, hasrat ini menimbulkan salah faham dalam media, walhal kami baru hendak menjalankan kajian.

“Ini bermakna NUTP belum ada fakta untuk mengukuhkan dakwaan guru stres dan kami berharap dapat mengemukakan hasil kajian selidik ini kepada Kementerian Pelajaran secepat mungkin.“Malah kementerian sendiri mengakui guru berhadapan dengan bebanan kerja dan terpaksa bekerja sehingga 72 jam seminggu,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar semalam, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menyelar NUTP kerana mendakwa guru stres tidak bersandarkan bukti konkrit dan fakta, sebaliknya menjadikan isu itu untuk menjadi popular.

Ismail berkata, NUTP tidak berhasrat menjadi popular kerana matlamat kesatuan ialah untuk menjadi saluran memperjuangkan kebajikan guru.Ditambah pula sejak kebelakangan ini, tugas guru semakin bertambah, malah NUTP banyak menerima aduan daripada mereka kerana menghadapi pelbagai kesan stres.

“Buat masa ini, saya tidak dapat memberikan peratusan atau data kerana kajian belum dijalankan tetapi NUTP tidak pernah membuat kesimpulan mengatakan 350,000 guru mengalami stres, bagaimanapun mengakui masalah stres ini semakin meningkat. “Pada masa sama, kita mahu membantu Kementerian Pelajaran untuk menangani masalah ini supaya tidak menjadi lebih serius. “NUTP mahu memastikan guru tidak mengalami stres sehingga boleh menjejaskan tahap kesihatan mereka.

“Kami juga berharap dapat bekerjasama dengan Unit Kaunseling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membantu kami menyediakan program tertentu berkaitan pengurusan menangani stres di tempat kerja,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kajian itu, Ismail berkata, kajian membabitkan sekurang-kurangnya 1,500 guru sebagai responden itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan kerjasama Unit Psikologi, JPA.Beliau berkata, soal selidik untuk kajian perintis sudah disediakan tenaga pakar dan akan diedarkan kepada 250 perwakilan mewakili 130,000 ahli NUTP, pada persidangan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, NUTP memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Proton Edar Sdn Bhd bagi membolehkan ahlinya membeli kereta Savvy, Wira, Saga, Waja, Gen-2 dan Perdana dengan diskaun antara RM500 dan RM2,000.
©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: