Friday, September 01, 2006

Suatu Renungan Pasca-Merdeka

Whew, sudah sekian lama aku tidak menulis dalam blog ini. Malaysia sudah mencapai usia 49 tahun kemerdekaannya... Alhamdulillah. Selalunya kalau waktu-waktu cuti peristiwa sebegini, aku selalu menantikan iklan² yang menarik di kaca televisyen. Tahun ini, iklan Proton menarik perhatianku kerana berkaitan dengan golongan insan yang semakin dilupakan peranan dan tanggungjawabnya... GURU.


Ya, mungkin ada yang akan bertanya, mengapa aku mengatakan bahawa golongan ini semkin dilupakan peranan dan tanggungjawabnya. Aku melihat perkara ini dari perspektif arus pemodenan pada masa kini. Dahulunya, guru dianggap sebagai golongan yang paling di hormati dan diberikan sepenuh penghargaan atas ilmu dan tenaga yang telah mereka curahkan dalam mendidik anak² bangsa Malaysia. Ibu bapa juga tidak punya halangan dalam isu guru merotan atau menghukum anak² mereka, atas nama mendisiplin dan mendidik anak² ini dalam menjadi insan yang berguna.

Tapi sayang sekali, itu sudah tidak bermakna lagi pada masa kini. Guru di sekolah tidak lagi punya penghormatan sebegitu. Biarlah betapa penat dia memerah keringat, betapa dia berdedikasi dalam mencurahkan ilmu kepada anak didiknya... namun kiranya anak² didiknya itu gagal dalam pelajarannya, maka dialah yang terlebih dahulu dipersalahkan. Anak² zaman sekarang lebih mempercayai guru² di pusat² tuisyen, kerana pada mereka, guru² tuisyen lebih arif dalam membantu mereka untuk lulus peperiksaan. Anak² zaman ini juga tidak boleh dihukum, walaupun hanya sekdar dijentik atau dicubit kecil, lantaran 'keprihatinan' ibu bapa atas perhatian guru yang melampau ke atas tubuh badan anak mereka.

Aku sedih dengan keadaan ini. Aku tidak menafikan, kelonggaran itu perlu tapi bilamana kelonggaran yang di kenakan itu tidak lagi mampu untuk mengawal keadaan seperti yang sepatutnya, maka kita perlu melakukan suatu revolusi yang menuntut perhatian semua pihak. Zaman persekolahan tidak sepatutnya menjadi suatu bebanan, namun itulah yang dirasakan oleh anak² di dalam sistem persekolahan pada masa kini.Persekolahan bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan besar, tapi juga untuk membina seorang insan dalam menempuhi kehidupan yang akan datang. Memetik kata² seorang pensyarahku, "Education is about making human out of human"... Pendidikan adalah bertujuan untuk menginsankan seorang insan.... Bagiku, itu sudah cukup untuk menerangkan hampir segalanya....

Hari ini, ada sesuatu yang amat menarik perhatianku dalam akhbar harian utama. kalau sekiranya sebelum ini aku hanya mengutarakan ketidak puasan hatiku atas isu guru-guru lepasan KPLI, nampaknya apa yang aku bimbangkan itu adalah berasas.


Aku tidak mahu mending jari ke mana-mana pihak, namun bagi mereka-mereka yang pernah membaca entry yang sebelum-sebelum ini, kini kalian boleh memahami mengapa aku begitu tidak menyetujui kewujudan KPLI ini. Terpulang pada kalian untuk menilainya. Bagi diriku, aku tetap menyanjung kerjaya ini, biarpun kiranya peluang itu tidak ada bagiku bagi menabur khidmat buat anak-anak muda tanahairku ini.

..............................................................................................

Lepasan KPLI tidak miliki jiwa pendidik


NUTP dakwa terima banyak aduan daripada pengetua

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan bukan semua guru lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) berminat mengajar, sebaliknya memilih kerjaya perguruan selepas gagal memperoleh pekerjaan lain.

Presidennya, Ismail Nihat, berkata NUTP menerima banyak aduan daripada pengetua bahawa kebanyakan guru lepasan KPLI tidak melaksanakan tugas dengan baik akibat tidak memiliki jiwa sebagai seorang pendidik.

Beliau berkata, aduan itu juga membabitkan ketidaksungguhan sesetengah guru terbabit membantu menjayakan program kokurikulum seperti kegiatan persatuan sukan, sekali gus menyebabkan ketidaksempurnaan.

“Kami sudah lama membincangkan perkara ini dengan Kementerian Pelajaran. NUTP menyambut baik langkah kementerian itu untuk menghentikan KPLI untuk guru sekolah menengah.

“Langkah menyerahkan tugas itu kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memang wajar, sesuai peranannya melahirkan graduan berkualiti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kelmarin, KPLI bagi guru sekolah menengah dihentikan serta-merta bagi menyelesaikan masalah lebihan guru.

Sehubungan itu, KPLI bagi sekolah menengah dikendalikan IPTA dan UPSI, manakala 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara akan hanya mengendalikan KPLI bagi sekolah rendah dan prasekolah.

Setakat ini, 47,000 permohonan diterima kementerian itu bagi program KPLI sekolah rendah dan menengah dengan 10,000 daripada mereka sudah menjalani temu duga.

Ismail berkata, ada pengetua mengadu mereka seboleh-bolehnya tidak mahu menerima guru lepasan KPLI kerana kecewa dengan prestasi sesetengah mereka terbabit yang disifatkan tidak melaksanakan tugas sepenuh jiwa sebagai seorang pendidik.

“Bukan mudah untuk menjadi guru kerana guru bukan sekadar mengajar. Dia juga adalah pendidik dan tempat untuk pelajar mengadu masalah. Untuk menjadi guru, seseorang itu perlu memiliki jiwa penyabar dan berazam melahirkan generasi berilmu dan bersahsiah tinggi,” katanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: